Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sememangnya kagum dengan komitmen dan kerja keras jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon sepanjang mengendalikan pasukan sejak Januari 2022.
Hamidin turut mendedahkan kekuatan sebenar yang ada pada jurulatih berasal dari Korea Selatan itu. Antara kekuatan utama yang dimiliki Pan-gon adalah dari segi menganalisa corak permainan pihak lawan.
Pendedahan tersebut telah diungkapkan sendiri oleh Hamidin dalam rancangan Bola Itu Life yang disiarkan oleh Astro Arena.
“Dia (Kim Pan-gon) kalau dalam kem latihan, dia 24 jam bekerja dengan staf. Selain daripada latihan, beliau bersama staf teknikal dan pembantu jurulatih akan duduk (bersama) untuk analisa.
“Saya fikir kekuatan dia, dia kaji pasukan lawan. Ramai yang tak tahu. Dia juga lebih terperinci. Setiap lima minit, apa sistem pasukan itu bermain.
“Yang saya nak katakan tu, kebolehan dia analisa pasukan lawan itu sungguh kuat,” jelas Hamidin seperti disiarkan di Astro Arena.
Kredibiliti Kim Pan-gon sekali lagi bakal teruji dengan perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari ini sebelum bermulanya ujian getir di Piala Asia 2023 Qatar.
Untuk saingan Piala Asia, Malaysia diletakkan di kumpulan E bersama-sama tiga lagi pasukan gergasi Asia iaitu Korea Selatan, Bahrain dan Jordan. Jordan akan menjadi lawan pertama Harimau Malaya pada 16 Januari.
Manakala di perlawanan kedua, Malaysia bakal bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup aksi kumpulan dengan perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.