Dengan Indonesia bakal berentap dengan Argentina untuk aksi persahabatan pada 19 Jun ini, ramai penyokong tertanya-tanya kenapa Malaysia tidak melakukan perkara sama. Tetapi menurut Datuk Hamidin Mohd Amin, sebenarnya Harimau Malaya ada menerima jemputan daripada Argentina dan Brazil untuk aksi persahabatan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun berpandangan ini bukanlah masa sesuai untuk skuad kebangsaan berdepan dua pasukan gergasi itu. Perkara tersebut turut dipersetujui jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
“Brazil nak lawan (ketika Majlis FIFA) tetapi saya tak nak kerana ini bukan masanya. Saya boleh buat kalau setakat nak tunjukkan (gah) tetapi bukan masanya dan Pan-gon tak mahu.
“Kita dan Brazil sama sama Ahli Majlis FIFA tetapi belum masanya lagi, mungkin apabila tiba masa yang tepat. Kalau setakat main untuk populariti, mungkin mereka boleh dapatkan orang lain,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia semalam.
Hamidin turut mendedahkan pada tahun lepas, FAM turut menerima jemputan aksi persahabatan daripada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA). Bagaimanapun, jemputan tersebut turut ditolak atas sebab sama.
“Saya ada hubungan yang baik dengan Argentina juga dan mereka ada menjemput kita tetapi Pan-gon tak mahu. Kalau nak adakan persahabatan, kena pasukan yang realiti,” tambahnya.