Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan para atlet yang tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) agar tampil lebih cemerlang selepas ini.
Stadium Astro melaporkan ingatan ini dibuat dengan mengambil kira pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 membabitkan beberapa acara sukan semakin hampir ke penghujung.
Seandainya mereka gagal layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, nama atlet yang terkandas berpotensi digugurkan oleh RTG.
Hannah memaklumkan perkara ini akan diputuskan Jawatankuasa RTG menerusi satu mesyuarat yang akan diadakan pada akhir bulan ini.
“Ia sudah terang ketika kriteria RTG ditetapkan, tiada rundingan terhadap atlet tertentu.
“Apabila kami memberitahu mereka tentang kriterianya dan bentuk bantuan yang boleh dinikmati, maka mereka perlu mencapai sasarannya jadi kita perlu tunggu keputusan daripada jawatankuasa,” katanya.
Sebelum ini, beberapa atlet dan pasukan digugurkan RTG selepas gagal memenuhi KPI yang ditetapkan atau mengalami masalah kemerosotan prestasi.
Antara yang pernah digugurkan RTG ialah skuad hoki lelaki kebangsaan dan dua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.