Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Stadium Malaysia, Dato’Hans Isaac dilihat sudah memiliki resipi untuk memulihkan keadaan rumput Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tular sekeping foto yang dikongsikan oleh DYAM TMJ mengenai keadaan terkini padang SNBJ susulan penganjuran konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November 2023.
Keadaan ini menimbulkan rasa dukacita dalam kalangan peminat bola sepak tanah air tatkala aksi final Piala Malaysia 2023 bakal berlangsung kurang dua minggu.
Foto tersebut memaparkan keadaan rumput terkini di SNBJ yang sudah bertukar warna keperangan sungguhpun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pernah memaklumkan terdapat cara khusus untuk mengekalkan keadaan padang pada tahap terbaik.
Hans Isaac menerusi satu perkongsian di laman sosialnya memaklumkan bahawa pihaknya sudah mempunyai penyelesaian sebaiknya agar keadaan padang bersedia sepenuhnya pada 8 Disember 2023.
Venue Piala Malaysia juga sudah pun diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekaligus memberikan kerja tambahan buat PSM untuk menguruskan hal tersebut.
Hans berkongsikan dua keping foto yang menujukkan tapak semaian PSM dan turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih padang bagi aksi 8 Disember ini sudah dijalankan.

SNBJ bagaimanapun difahamkan akan kekal menganjurkan konsert pada 1 Disember 2023 akan datang.
