Advertisement
Haqimi Azim: Kalau Benda Tu Betul, Satu Kejayaan Buat Saya
Liga Super
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli menyimpan hasrat untuk terus menyinar di Liga Super.

Pemain berusia 22 tahun itu mewakili Harimau Malaya ketika kejohanan ASEAN Championship baru-baru ini.

Beliau mengakui masih banyak perkara yang boleh dipelajari untuk meningkatkan mutu permainannya dan menapak lebih baik pada masa hadapan.

Menerusi satu sesi temu bual bersama wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam, Haqimi Azim menjawab harapan besar peminat untuk melihat dirinya beraksi buat kelab yang lebih besar.

“Bagi saya, kalau benda tu betul (ke kelab besar Liga Super), satu kejayaan bagi saya sebab daripada kecil saya amat meminati bola sepak.

“Saya berterima kasih kerana ramai yang melihat bakat saya. Kalau ada peluang itu, saya akan ambil dan buat yang terbaik untuk masa depan saya,” katanya kepada Astro Arena.

Tonggak penting Malaysia B-23 di Piala Asia Qatar ini turut menghargai segala ilmu yang dicurahkan oleh barisan kejurulatihan.

“Saya nak berterima kasih kepada jurulatih yang melatih saya selama ini sampai menjadi seorang pemain bola sepak profesional. Saya harap dapat terus berkembang dalam industri bola sepak Malaysia.

“Saya akan terus buat yang terbaik untuk karier saya dan juga keluarga,” tambahnya.

Pemain tinggi lampai ini telah merekodkan 5 penglibatan jaringan dalam 12 penampilan bersama KL City dalam saingan Liga Super.