Terengganu FC melancarkan jersi baharu bagi musim 2026/27 dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding musim sebelumnya.
Pada musim 2025/26, jersi Terengganu FC dijual pada harga RM149, manakala bagi musim 2026/27, harganya ditetapkan pada RM119, iaitu penurunan sebanyak 20% berbanding musim lalu.
Sang Penyu tampil dengan identiti baharu menerusi jersi rasmi musim ini yang mengetengahkan konsep “Pure Black & White”, sekali gus memberikan penampilan yang lebih segar dan menarik.
Selain reka bentuk baharu, jersi musim 2026/27 turut ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan sebagai tanda penghargaan kepada para penyokong setia Terengganu FC.
“Terengganu Football Club (Terengganu FC) tampil dengan identiti baharu menerusi jersi rasmi musim 2026/2027 yang mengetengahkan konsep “Pure Black & White”. Warna hitam dan putih menjadi elemen utama rekaan kali ini tanpa penggunaan warna emas atau warna-warna lain seperti yang terdapat pada edisi terdahulu.”
“Rekaan jersi musim ini bukan sahaja menampilkan wajah baharu buat pasukan, malah mengangkat warna hitam dan putih sebagai simbol identiti serta warna keramat Terengganu FC. Dihasilkan oleh Trivet, jersi ini membawa mesej bahawa identiti Terengganu FC bukan sekadar terhad di dalam negara, sebaliknya bersedia untuk dibawa ke pentas yang lebih luas.”
“Konsep tersebut turut diterjemahkan menerusi video pelancaran jersi yang menampilkan jersi Terengganu FC berada di luar Malaysia. Pendekatan ini membawa mesej yang jelas, iaitu memperkenalkan Terengganu kepada dunia melalui identiti hitam dan putih yang menjadi simbolik kepada kelab dan negeri Terengganu.”
“Bagi jersi Home yang didominasi warna putih, rekaan yang lebih bersih dan minimalis mengekalkan elemen tradisi warna rasmi pasukan yang telah sekian lama menjadi identiti Terengganu FC. Jalur halus pada bahagian hadapan memberikan sentuhan klasik tanpa menjejaskan penampilan moden jersi tersebut.”
“Penggunaan kolar pula memberikan karakter yang lebih kemas dan versatil, menjadikan jersi ini bukan sahaja sesuai dipakai ketika memberikan sokongan di stadium, malah turut sesuai digayakan sebagai pakaian kasual dalam kehidupan seharian.”
“Sementara itu, jersi Away tampil dengan karakter yang lebih tegas menerusi dominasi warna hitam. Antara kelainan paling ketara pada edisi kali ini ialah penggunaan monogram “TFC” sebagai logo pasukan, sekali gus memberikan penampilan yang lebih minimalis dan berbeza daripada rekaan jersi musim-musim sebelumnya.”
“Selain mengetengahkan identiti baharu, Terengganu FC turut memberikan perhatian terhadap kemampuan penyokong untuk memiliki jersi rasmi musim ini. Harga jersi 2026/2027 ditawarkan pada kadar yang lebih rendah berbanding edisi sebelumnya sebagai tanda penghargaan kepada para penyokong setia yang terus memberikan sokongan kepada kelab.”
“Jersi Player Issue Home & Away musim 2026/2027 ditawarkan pada harga RM119 sehelai. Jersi ini akan mula dijual secara fizikal pada 28 Ogos 2026 (Jumaat), bersempena perlawanan Terengganu FC menentang Selangor FC.”
“Bagaimanapun, penyokong yang tidak mahu menunggu boleh mendapatkan jersi ini lebih awal dengan membuat tempahan menerusi tfcdirect.asia, iaitu laman rasmi barangan kelab Sang Penyu,” dalam satu kenyataan di laman web milik Terengganu.
Terengganu FC akan menentang Melaka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 Ogos ini bagi aksi pertama Liga Super musim 2026-27 untuk kedua-dua pasukan.