Pengendali Perak, Yusri Che Lah menjelaskan status sebenar pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli yang diturunkan ketika aksi Liga Super.
Haziq Nadzli diberi kepercayaan untuk mengemudi benteng terakhir pasukan Perak ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan Liga Super menentang JDT pada Isnin.
Walau bagaimanapun, kelibat Haziq yang merupakan pemain pinjaman daripada JDT telah menimbulkan tanda tanya sama ada penjaga gol itu sudah kekal menjadi milik Perak atau pun sebaliknya.
Oleh itu, Yusri Che Lah ketika di sidang media menjelaskan secara ringkasnya bahawa Haziq telah diberi keizinan oleh pihak JDT untuk turun beraksi dan enggan mengulas lebih lanjut.
”(Perihal Haziq Nadzli) ini panjang kalau nak cerita, jadi saya rasa dia boleh beraksi itu maknanya pihak JDT memberi izin untuk saya menurunkan dia,” kata Yusri Che Lah.
”Jadi selebihnya itu, saya rasa lebih baik rahsialah,” tambah pengendali itu lagi yang tidak mahu memberi ulasan lanjut.
Ketika ditanya mengenai status terkini Haziq bersama Perak, Yusri sambil tertawa sinis masih tidak mahu membuka mulut dan hanya memaklumkan mengenai keizinan oleh pihak JDT.
”Saya tak boleh nak menyatakan perkara yang sepatutnya tapi apa yang pasti kami (Perak FC) diberi kebenaran bagi menurunkan beliau pada perlawanan ini.”
Malah, Yusri pantas mengalihkan isu dengan memuji prestasi hebay Haziq Nadzli yang tangkas menafikan deretan peluang yang dimiliki oleh JDT diketuai bekas penyerang Real Madrid, Jese.
”Saya rasa malam ini antara penyebab kami tak tewas besar (kerana) Haziq beraksi cukup baik dalam mengawal gawang.”
Keputusan akhir perlawanan menyaksikan Perak akur tewas 2-0 di tangan JDT hasil haringan Jese serta Jorge Obregon untuk skuad Harimau Selatan itu diangkat selaku juara Liga Super.
Selepas ini, JDT akan mengalihkan tumpuan kepada saingan AFC Champions League Elite bertemu Buriram Untied pada 4 Mac sementara Perak akan menentang Negeri Sembilan di Manjung pada 8 Mac.