Advertisements
Haziq Nadzli Kembali Selepas 6 Tahun
Harimau Malaya
MakanBola
Perak FC

Penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli kembali memperkuatkan skuad kebangsaan selepas kira-kira enam tahun namanya ‘hilang’ dari senarai pemain untuk dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya.

Haziq, 26 telah menampilkan aksi terbaik beliau bersama Perak dalam saingan domestik musim ini dan berjaya mempamerkan aksi penyelamatan luar biasa demi mempertahanankan gawang Perak daripada dibolosi.

Nama Haziq tersenarai antara tiga penjaga gol yang dipanggil ketua jurulatih Malaysia, Pau Marti Vicente. Selain Haziq, dua lagi penjaga gol yang dipanggil ialah penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi dan penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City), Azri Ghani.

Untuk rekod, kali terakhir Haziq dipanggil ke skuad kebangsaan ialah pada enam tahun lalu iaitu dalam perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Mongolia pada Mac 2018.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2 itu merupakan satu-satunya penampilan Haziq bersama skuad senior Malaysia yang pada ketika itu dibimbing oleh Nelo Vingada.

Aksi berkualiti yang dipamerkan Haziq sejak kebelakangan ini turut meraih perhatian legenda bola sepak Malaysia, Datuk Zainal Abidin Hassan yang memuji aksi penjaga gol pinjaman dari JDT itu.

“Saya bersetuju (Haziq sebagai pemain terbaik perlawanan) khususnya pada separuh masa pertama (ketika Perak berdepan KL City), dua situasi satu lawan satu yang diselamatkan memberi keyakinan kepada dia sendiri dan juga pasukan,” jelas Zainal Abidin dalam siaran langsung di Astro Arena.

Haziq serta 25 pemain yang lain dipanggil ke skuad kebangsaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Laos pada 14 November di Bangkok dan menentang India pada 18 November di Hyderabad, India.