Tonggak import Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandes, secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Selatan tanah air itu setelah tiga tahun berkhidmat bersama Harimau Selatan.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Instagram miliknya pada Selasa, di mana pemain kelahiran Brazil itu meluahkan rasa syukur atas perjalanan penuh bermakna sepanjang bersama kelab tersebut.
“Selepas 3 tahun yang tidak akan saya lupakan, tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang sangat istimewa ini.”
Menurut Heberty, tempoh tiga tahun di JDT merupakan satu fasa yang penuh dengan pembelajaran, cabaran serta kejayaan yang akan sentiasa terpahat dalam ingatannya. Namun baginya, kenangan paling berharga bukan hanya terletak pada kejayaan di atas padang, tetapi juga hubungan yang terjalin bersama rakan sepasukan, staf dan penyokong.
“Lebih daripada kemenangan di atas padang, saya akan membawa bersama persahabatan, rasa hormat dan kenangan yang tidak akan pernah saya lupakan,” tulisnya lagi.
Dalam masa sama, Heberty Fernandes turut merakamkan penghargaan khas kepada semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya di JDT, termasuk pemain, jurulatih, staf dan para penyokong yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti.
Ucapan penghargaan turut diberikan secara khusus kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas kepercayaan, sokongan serta peluang yang diberikan sepanjang beliau bersama kelab itu.
“Merupakan satu penghormatan untuk saya mewakili kelab ini dan memakai jersi ini,” katanya lagi.
Heberty menamatkan ucapannya dengan penuh rasa syukur serta keyakinan bahawa beliau sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap detik bersama JDT.
Sebagai rekod, Heberty Fernandes berjaya mencatatkan 30 jaringan dan 17 bantuan gol dalam 74 penampilan untuk JDT sejak tiba di selatan tanah air pada tahun 2023 dengan 5 kejuaraan domestik berjaya dimenangi menurut Transfermarkt.