Ketua Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio telah menjawab tentang ketiadaan perancang tengah, Jalil Elias.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai skuad Harimau Selatan pada musim ini daripada kelab Argentina, San Lorenzo.
Kehadiran beliau telah memberi saingan sengit kepada posisi tengah yang sudah memiliki beberapa pemain berkaliber seperti Natxo Insa, Hong Wan, Juan Muniz, Chico Geraldes, Endrick dan ramai lagi.
Ketiadaan tonggak tengah Syria itu setelah kali terakhir beraksi ketika menentang Negeri Sembilan menjadi tanda tanya peminat.
Pengendali kelahiran Argentina itu bagaimanapun memberitahu bahawa ini hanyalah keputusan yang dibuat olehnya mengambil kira tentang keperluan menentang Sri Pahang.
“Jalil Elias pemain yang bagus tetapi kami memiliki pemain dan skuad yang baik. Jadi ini merupakan hanya satu keputusan yang dibuat pada perlawanan ini,” ujarnya kepada Astro Arena.
Beliau tidak tersenarai dalam skuad JDT bagi tiga aksi terakhir iaitu ketika menentang KL City, Kelantan DN dan juga Sri Pahang.
Jalil Elias bagaimanapun kekal menjalani latihan bersama pasukan bagi persediaan perlawanan sebelum ini.