Perancang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias kini menikmati detik terindah sebagai pemain baharu juara bertahan tersebut.
Pemain berusia 27 tahun itu melengkapkan perpindahan ke JDT dari kelab Argentina, San Lorenzo dan sudah pun beraksi dalam beberapa perlawanan.
Beliau mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan membentuk gandingan bersama Juan Muniz dan Nazmi Faiz ketika berdepan Negeri Sembilan.
Pemain kebangsaan Syria itu menampilkan aksi terbaik untuk mendominasi jentera tengah Harimau Selatan pada perlawanan tersebut dan membantu JDT meraih 3 mata.
Jalil menyatakan rasa gembira kerana diturunkan dan berjaya membantu kemenagan JDT di laman sendiri.
“Saya gembira kerana dapat beraksi dan sudah lama menunggu saat ini. Saya juga gembira dapat membantu pasukan raih kemenangan.
“Ini satu permulaan yang baik untuk saya dan pasukan. Dan (saya) harap dapat teruskan momentum positif ini bersama Johor Darul Ta’zim,” jelasnya kepada Astro Arena.
Jalil sudah pun meledak satu gol ketika aksi pra-musim di Sepanyol sambil Nazmi Faiz yakin gandingan lebih baik bakal dibentu bagi perlawanan akan datang.
JDT akan turun ke Stadium Cheras bagi berdepan finalis Piala FA 2023, KL City pada 25 Mei 2024 jam 8:15 malam.