Advertisement
Hector Bidoglio: Setiap Aksi Ibarat Final Bagi JDT
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) turun dengan misi besar untuk menundukkan jaguh Thailand, Buriram United.

Perkara ini ditegaskan oleh pengendali pasukan, Hector Bidoglio yang tidak rela melihat skuad Harimau Selatan tunduk di tangan Buriram.

JDT mengharungi kempen AFC Champions League Elite (ACLE) dengan begitu baik namun tunduk dua aksi kepada Gwangju dan terbaru menentang Shandong Taishan.

Jurulatih kelahiran Argentina itu tidak mahu anak buahnya leka sambil meletakkan sasaran untuk meraih 3 mata.

“Esok kita akan berdepan dengan satu aksi mencabar. Jadi, pasukan (JDT) perlu memberi fokus kepada aksi pasukan. Kita perlu untuk mendapatkan tiga mata esok.

“Pada saya, kita menunjukkan persaingan dan beraksi dengan begitu baik. JDT perlu meletakkan intensiti, beraksi secara dinamik dan fokus 100 peratus kepada aksi ini,” katanya pada sesi sidang media pra-perlawanan Astro Arena hari ini.

JDT juga bersedia untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan.

“JDT perlu untuk mempamerkan filosofi di laman sendiri. JDT kelab besar dan masih berkembang setiap perlawanan dan kita meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan berikutnya.

“Di JDT, setiap aksi adalah final. Akan tetapi, saya merasakan bahawa pemain menikmati setiap perlawanan. Pemain tahu bahawa ini merupakan kejohanan yang penting tetapi kita mahu fokus satu aksi ke aksi berikutnya,” tambahnya.

Aksi antara JDT vs Buriram United akan berlangsung pada 2 Disember 2024 jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT kini menghuni tangga ke-5 dengan 7 mata manakala Buriram United di tangga ke-9 dengan jumlah mata sama.