Hilang Dua Tonggak Punca Terengganu Kempunan 3 Mata
MakanBola
Terengganu FC

Jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui ketiadaan dua tonggak jejaskan usaha pasukan itu meraih tiga mata ketika menentang Negeri Sembilan FC.

Peteh pada awalnya selesa mendahului menerusi Yann Mabella dan Careca pada separuh masa pertama.

Walau bagaimanapun, perancangan Terengganu terjejas apabila Gervane Kastaneer dan Kyaw Min Oo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Tengku Hazman melihat ketiadaan dua pemain itu memberi kesan besar kepada Terengganu terutama Kastaneer. Ini kerana penyerang Curacao itu banyak membantu Peteh mengawal bola.

Ketiadaan mereka membuka ruang buat Negeri Sembilan untuk bangkit selepas rehat untuk mengikat kedudukan 2-2.

“Dengan ketiadaan dua orang pada separuh masa pertama, Kasta (Kastaneer) dengan Kyaw Min Oo, masa minit ke-40. Dan pada separuh masa kedua itu, (kelemahan) kita nampak ketara dari segi ritma dan jurang (antara bahagian).

“Bila kita gantikan (Kastaneer dan Min Oo) dengan pemain baru itu, kita nampak juranglah. Saya rasa benda itu yang nampak ketaralah. Sebab penguasaan bola longgar dan kita hilang bola. 

“Macam sebelum ini, Kasta banyak mengawal bola. Kita dapat main. Dan agak ketara bila ketiadaan Kasta itu, saya nampak agak ketara lah. Kita tidak dapat menguasai bola,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Tengku Hazman juga enggan mengulas keputusan pengadil mengesahkan gol penyamaan Negeri Sembilan dalam perlawanan itu. “Tiada komen, anda boleh tengok sendiri,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu kekal di tangga kelima liga dengan 33 mata. Selepas ini, Peteh mengalihkan fokus kepada perlawanan menentang Kuching City FC pada 1 Mei ini.