Negeri Sembilan FC mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila bangkit ketinggalan dua jaringan sebelum mengikat Terengganu 2-2 dalam aksi Liga Super Malaysia yang dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.
Terengganu yang dibimbing Tengku Hazman Raja Hassan menurunkan skuad terbaik dengan Yann Mabella kembali ke kesebelasan utama selepas 189 hari berehat akibat kecederaan manakala Negeri Sembilan mempertaruhkan Joseph Esso dan Luqman Hakim sebagai peledak utama.
Perlawanan dimulakan dengan tuan rumah mempamerkan penguasaan padang dengan hantaran-hantaran pendek.
Terengganu tidak perlu menunggu lama untuk mencari gol pendahuluan apabila Yann Mabella meledak jaringan pada minit ke-15 selepas menyempurnakan hantaran lolos menarik daripada Gervane Kastaneer. Terengganu mendahului 1-0.
Jaringan tersebut seolah memberikan keyakinan tambahan buat pemain Terengganu apabila terus menguasai perlawanan.
Negeri Sembilan terpaksa melupakan khidmat Luqman Hakim seawal minit ke-24 perlawanan selepas penyerang kebangsaan itu mengalami kecederaan sekali gus memaksa Negeri Sembilan membuat pertukaran.
Terengganu melebarkan jurang apabila pada minit ke-32, Careca mencetak jaringan kedua Terengganu selepas pemain kelahiran Brazil itu menyudahkan hantaran Kastaneer.
Ketinggalan dua jaringan, Negeri Sembilan membuat pertukaran dengan membawa masuk pemain berpengalaman seperti Khuzaimi Piee bagi memberikan kekuatan di bahagian pertahanan.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tampak lebih yakin dengan permainan pantas.
Diego Landis hampir sahaja mencetak nama selaku penjaring buat Terengganu namun jaringan beliau dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Negeri Sembilan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-76 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Joseph Esso. Penalti tersebut diberikan selepas semakan VAR mendapati Ariff Ar-Rasyid telah dikasari Shahrul Nizam di kotak penalti.
Selapas jaringan tersebut dihasilkan, Negeri Sembilan meneruskan asakan ke kubu Terengganu bagi mencari jaringan penyamaan.
Hasil usaha keras, Negeri Sembilan berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-83 selepas Joseph Esso sekali lagi mempamerkan bisa menyempurnakan hantaran Mio Tsuneyasu. Kedudukan terikat 2-2.
Perlawanan tertangguh beberapa minit selepas jaringan penyamaan Jospeh Esso itu dibantah oleh kem Terengganu namun hasil semakan VAR yang dilakukan pengadil, jaringan tersebut disahkan.
Perlawanan berlanjutan dengan 10 minit masa tambahan diberikan namun tiada jarigan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2 buat kedua-dua pasukan.
Dengan keputusan seri ini, Terengganu kekal di tangga kelima Liga Super dengan 33 mata manakala Negeri Sembilan turut mengekalkan kedudukan di tangga ke-7 dengan himpunan 24 mata.
Untuk aksi seterusnya, Terengganu bakal bertemu Kuching City di gelanggang lawan pada 1 Mei manakala Negeri Sembilan pula bakal melayan kunjungan Melaka FC pada 3 Mei di Paroi,