Skuad hoki lelaki senior Malaysia akhirnya meraih kemenangan pertama dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Valencia, Sepanyol.
Kejayaan itu diraih apabila The Speedy Tigers mengatasi cabaran wakil Amerika Selatan, Chile dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan hari ini.
Selepas gagal layak ke peringkat separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik, Malaysia yang dibimbing Arul Selvaraj berazam untuk bangkit dan mendapatkan kedudukan terbaik dalam pusingan kelayakan.
Dan mereka memiliki kelebihan dari segi pertemuan bila turun menentang Chile. Ini kerana Malaysia berjaya menewaskan Chile dua kali termasuk dalam saingan Piala Dunia Hoki 2023.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara memiliki beberapa peluang terbaik untuk mencipta jaringan tetapi gagal disempurnakan mereka.
The Speedy Tigers kemudiannya mendapat dua pukulan penalti pada minit ke-25. Malangnya, dua penalti tersebut gagal menembusi gawang Chile yang dikawal Adrian Henriquez.
Ketumpulan penyudah skuad negara menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak membabitkan Malaysia dan Chile. Skuad negara akhirnya mendahului menerusi pukulan penalti Razie Rahim pada minit ke-32.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada The Speedy Tigers untuk menambah gol. Dua minit kemudian, gawang Chile bocor lagi menerusi gol padang Ashran Hamsani.
Derita Chile semakin bertambah apabila kapten negara, Marhan Abdul Jalil menyumbat gol ketiga pada minit ke-41 menerusi pukulan penalti.
Skuad negara semakin selesa mendahului menerusi gol keempat yang dijaringkan Norsyafiq Sumantri pada minit ke-48.
Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan kecemerlangan The Speedy Tigers dengan menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-60. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Malaysia kini bakal bertemu Kanada untuk perlawanan penentuan tempat kelima dan tempat keenam. Perlawanan bakal berlangsung pada 21 Januari ini.