Advertisement
Kelayakan Hoki Olimpik: Hajat Malaysia Ke Sukan Olimpik Terkandas, Seri Dengan Pakistan
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Hasrat skuad hoki lelaki senior Malaysia untuk layak ke separuh akhir pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Valencia, Sepanyol musnah.

Ini selepas pasukan yang dibimbing Arul Selvaraj itu seri 3-3 dengan pasukan gergasi Asia, Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Malaysia perlu menang hari ini sekiranya ingin menghidupkan peluang layak ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Ini selepas mereka tewas dua perlawanan sebelumnya dalam Kumpulan A termasuk kalah 4-1 di tangan Great Britain.

Aksi hari ini juga memberi peluang kepada The Speedy Tigers untuk membalas dendam selepas mereka dikecewakan The Green Shirts dalam aksi penentuan tempat kelima/keenam Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Bagaimanapun, Pakistan yang dibimbing Shahnaz Sheikh turun dengan momentum positif selepas menewaskan China 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan A pada 16 Januari lalu.

Babak pertama menyaksikan skuad negara mendahului menerusi Fitri Saari pada minit ke-20. Keceriaan kem negara tidak bertahan lama apabila Sufyan Khan menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti tiga minit selepas itu.

Azrai Aizad Abu Kamal memastikan The Speedy Tigers mendahului 2-1 sehingga rehat menerusi pukulan penalti pada minit ke-30.

Bersambung selepas rehat, perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pakistan kembali menyamakan kedudukan menerusi Ammad Butt pada minit ke-33. Bagaimanapun, gawang The Green Shirts dibolosi lagi buat kali ketiga menerusi jaringan Firhan Ashari empat minit selepas itu.

Skuad negara berpeluang menambah gol apabila dianugerahkan penalti stroke oleh pengadil. Razie Rahim yang diberi amanah menyempurnakan penalti tersebut hampa apabila penalti beliau ditepis penjaga gol Pakistan, Abdullah Ishtiaq Khan.

Kegagalan ini dihukum The Green Shirts menerusi gol penyamaan pada minit ke-52 menerusi Waheed Ashraf Rana. Keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan skuad negara terlepas peluang layak ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik 2024. Ini sekaligus menutup terus peluang The Speedy Tigers layak ke Sukan Olimpik.

Malaysia kini perlu berdepan Chile untuk aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan. Perlawanan tersebut bakal berlangsung pada 20 Januari 2024 pada jam 7.30 malam.