Harapan skuad senior lelaki Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 semakin pudar.
Ini selepas The Speedy Tigers kecundang lagi buat kali kedua dalam aksi kedua Kumpulan A, pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di tangan Great Britain di Valencia, Sepanyol awal pagi ini.
Malaysia perlu menang dalam aksi kedua Kumpulan A jika ingin layak ke separuh akhir pusingan kelayakan selepas tewas 3-2 di tangan China.
Babak pertama menyaksikan skuad negara yang dibimbing Arul Selvaraj ketinggalan menerusi pukulan penalti Will Calnan pada minit ke-19.
Malaysia memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada rehat separuh masa menerusi pukulan penalti Shahril Saabah pada minit ke-26.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, Britain yang dibimbing bekas jurulatih negara, Paul Revington mula meningkatkan asakan ke arah pertahanan The Speedy Tigers.
Hasilnya, Sam Ward kembali meletakkan Britain di hadapan menerusi pukulan penalti pada minit ke-32. Tujuh minit kemudian, Zachary Wallace memastikan mereka mendahului 3-1 menerusi gol padang yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Hafizuddin Othman.
Ward melengkapkan malam gemilang Britain dengan gol padang pada minit ke-58. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga keempat Kumpulan A tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Dengan peluang The Speedy Tigers untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 sudah tertutup, aksi menentang Pakistan pada 18 Januari ini dilihat peluang buat skuad negara menebus maruah mereka dalam Kumpulan A.
Pertemuan ini juga merupakan peluang buat skuad negara membalas dendam dengan Pakistan. Ini selepas Pakistan menewaskan Malaysia 5-2 dalam perlawanan penentuan tempat kelima Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.