Hoki Kelayakan Piala Dunia: Pakistan Kecewakan Malaysia
UltraSukan
FIH

Malaysia terlepas peluang meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan B kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 apabila tewas 5-3 kepada Pakistan.

Kedua-dua pasukan cukup bersemangat selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi pertama. Malaysia membelasah Austria 6-1 dengan Pakistan mengatasi China 5-4.

Faizal Saari terus menjadi sandaran gol The Speedy Tigers. Ahmed Butt mengetuai cabaran Pakistan untuk perlawanan ini.

Malaysia yang berstatus pasukan ke-12 dunia membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Muhajir Abdu Rauf.

Akhimullah Anuar Esook menggandakan kelebihan anak buah Sarjit Singh menerusi pukulan sudut penalti dua minit selepas itu.

Pakistan merapatkan jurang gol menerusi gol padang Waheed Ashraf Rana pada minit sama. Ini disusuli gol penyamaan Zikriya Hayat pada minit ke-16.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Malaysia dan Pakistan terus memberi saingan untuk mencari gol tambahan.

The Speedy Tigers kembali mendahului pada minit ke-40 menerusi Fitri Saari. Fitri menyempurnakan penalti stroke yang menewaskan penjaga gol Pakistan, Muneeb Ur-Rehman.

Pakistan kembali mengejar dan meraih gol penyamaan menerusi Ahmad Nadeem lima minit selepas itu.

Aksi semakin sengit dengan Pakistan pula mendahului pada minit ke-49 menerusi pukulan penalti Sufyan Khan.

Pakistan terus melebarkan kelebihan mereka dengan gol kelima menerusi Ammad Muhammad pada minit ke-56.

Malaysia berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 5-3 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia jatuh di tempat kedua Kumpulan B dengan tiga mata.

Kini, anak buah Sarjit perlu menewaskan China dalam aksi terakhir kumpulan pada 4 Mac. Ini kerana dua pasukan terbaik setiap kumpulan yang layak ke peringkat separuh akhir.