Penyakit lambat panas dan benteng pertahanan rapuh sekali lagi merugikan skuad hoki junior Malaysia dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Piala Sultan Johor hari ini.
Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia terpaksa akur kepada Great Britain dengan kekalahan 7-4.
Penyakit lambat panas terus menghantui The Young Tigers apabila mereka ketinggalan pada minit kelima menerusi Matthew Hughson. Empat minit kemudian, Ted Graves menggandakan kelebihan mereka.
Gawang skuad negara yang dikawal Mohamad Rafaizul Mohamad Sani bolos lagi apabila Ali Douglas menyumbat gol ketiga pada ke-15.
Bagaimanapun, Malaysia kembali bangkit dengan mengikat kedudukan 3-3 menjelang rehat separuh masa.
Tiga gol ini disumbang oleh Faris Harizan (minit ke-22), Andywalfian Jeffrynus (minit ke-24) dan Harris Iskandar Osman (minit ke-27).
Bersambung pada babak kedua, skuad negara sekali lagi ketinggalan menerusi gol padang Jacob Payton pada minit ke-36. Payton kemudiannya menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-42.
Begitupun, Haris yang menggalas peranan sebagai kapten The Young Tigers memastikan kedudukan 5-4 menerusi pukulan penalti pada minit ke-44.
Suku terakhir perlawanan menyaksikan Britain kembali menjarakkan kedudukan menerusi gol padang Henry Markham pada minit ke-49.
Rory Penrose melengkapkan malam gemilang Britain dengan gol ketujuh pada minit ke-56.
Keputusan ini menyaksikan The Young Tigers terus kempunan meraih kemenangan dalam Piala Sultan Johor 2023.
Selepas ini Malaysia perlu berdepan Afrika Selatan untuk perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan Piala Sultan Johor 2023 pada 3 November.
Manakala Britain pula berdepan New Zealand bagi menentukan pemenang tempat kelima pada 4 November.