Menjelang aksi persahabatan antara Bekpes Hot FM dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) petang ini, pasukan itu sudah berkongsikan senarai pemain yang bakal diturunkan.
Ini berdasarkan senarai kesebelasan utama yang dimuatnaik di laman media sosial Hot FM hari ini.
Penyampai HotFM, Fizi Ali menggalas peranan sebagai penjaga gol. Sementara bekas jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menerajui bahagian pertahanan sambil disokong pelakon popular, Fizo Omar dan pelakon komedi, Atu Zero.
Bahagian tengah menyaksikan dua penyampai Bekpes Hot iaitu Johan dan AG masing-masing berperanan sebagai pemain sayap kiri dan pemain tengah.
Legenda Terengganu FC, Hairuddin Omar mengisi slot bahagian tengah dengan posisi sayap kanan diisi penyanyi, Tomok.
Penyampai Bekpes Hot, Khairy Jamaluddin mengetuai bahagian serangan dan dibantu oleh dua selebriti, Achey dan Amir Masdi.
Bekpes Hot turut memiliki pilihan di bangku simpanan sekiranya mahu mengubah momentum perlawanan.
Antara selebriti, penyampai radio Media Prima dan legenda bola sepak yang berada di bangku simpanan ialah Amin Idris, Shahrul Shiro, Zami Md Noor, Akim dan Zimi dari kumpulan Akim & The Majistret, Hanif Miswan dan Aidil Aziz.
Peminat boleh datang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5.00 petang ini dengan kemasukan percuma. Bagi yang tidak berkesempatan, mereka boleh mendengar ulasan perlawanan secara langsung menerusi siaran radio Hot FM.