Penyerang prolifik BG Pathum United, Ikhsan Fandi berpotensi untuk muncul bersama kelab Liga Super Malaysia bagi musim 26-27.
Tonggak berbisa berusia 27 tahun itu merupakan antara penggempur import Asia Tenggara paling handal selepas beraksi sejak tahun 2022 bersama jaguh Thailand itu.
Pada musim ini, beliau merekodkan 17 jaringan secara keseluruhan bagi semua kejohanan, termasuklah empat jaringan pada kempen AFC Champions League Two (ACL2).
Kedudukan Ikhsan bagaimanapun dijangka terjejas selepas Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) dijangka mengumumkan perubahan peraturan bagi quota pemain import Thai League 1.
Mulai musim 2026-27, kelab-kelab Liga Thailand 1 dibenarkan mendaftarkan 10 pemain import tanpa sebarang had kewarganegaraan, menggantikan peraturan semasa yang membenarkan tujuh pemain asing didaftarkan serta jumlah tanpa had pemain dari negara ASEAN.
Bagi setiap perlawanan pula, pasukan boleh menurunkan 10 pemain import yang didaftarkan, dengan had lima pemain import dan dua pemain ASEAN berada di atas padang pada satu-satu masa mengikut peraturan lama yang kini akan digantikan.
Sekiranya meninggalkan Liga Thailand, tiga kelab Malaysia dilihat sepadan dengan kebolehan Ikhsan untuk menghangatkan saingan Liga Super Malaysia.
Antara kelab yang berpotensi mendapatkan khidmat beliau ialah Kuching City FC – naib juara liga musim 2025-26. Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang juga warga Singapura memberikan kelebihan sekiranya Ikhsan beraksi pada posisi serangan.
The Cats juga bakal membawa cabaran hebat Malaysia pada pentas ACL2 musim hadapan, sekali gus memerlukan sosok peledak hebat untuk mengemudi jentera serangan pasukan.
Satu lagi pasukan yang berpotensi merekrut khidmat Ikhsan adalah Selangor FC kendalian Kim Pan-gon.
Kehadiran Ikhsan yang juga penyerang kebangsaan Singapura mampu menyuntik elemen penting untuk memastikan Gergasi Merah Kuning kembali ke pentas Asia pada musim 27-28 selain kembali merebut trofi domestik musim hadapan.
Satu lagi calon kelab terbaik buat Ikhsan sekiranya ke Liga Malaysia adalah bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC.
Kehadiran anak lagenda Singapura ini bakal memberikan pilihan tambahan, terutamanya pada kempen ACL Elite dan juga ACC Shopee Cup.