Pengendali Nam Dinh, Vu Hong Viet meluahkan rasa kurang puas hati terhadap cara permainan para pemainnya semasa tewas di tangan Selangor dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup.
Kemenangan 2-1 berjaya dilakar oleh Selangor ke atas Nam Dinh pada Rabu bagi membolehkan wakil Malaysia tersebut membawa bekalan 1 gol ke Vietnam pada perlawanan timbal balik nanti.
Chrigor Moraes muncul wira pasukan dengan dua jaringan yang disumbangkan setiap babak dan membantu Selangor memadam impian Nam Dinh mencari kelebihan selesa di Kelana Jaya.
Sejurus tamat aksi, Vu Hong Viet meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan persembahan para pemainnya yang kehilangan fokus pada saat penting hingga memberikan jaringan buat Selangor.
“Sejujurnya, terdapat sedikit rasa tidak puas hati terhadap aspek tumpuan pemain dalam beberapa saat tertentu.”
“Hilang tumpuan itu telah menyebabkan kami dihukum dengan gol, terutamanya gol kedua Selangor,” luah Vu Hong Viet ketika ditemui di sesi sidang media.
Jurulatih berusia 47 tahun itu turut melihat aspek penyudah yang tumpul mengakibatkan keputusan di Kelana Jaya tidak memihak mereka meskipun memiliki deretan peluang lebih banyak.
“Selain itu, aspek penyudah juga mengecewakan kerana kami mencipta lebih banyak peluang berbanding gol yang dihasilkan.”
“Ini adalah perkara yang perlu kami perbaiki bagi perlawanan timbal balik (di Vietnam minggu hadapan),” ulas beliau.
Gol tunggal Nam Dinh berjaya dijaringkan oleh Nguyen Van Vi sebelum babak pertama berakhir apabila pemain tengah kebangsaan Vietnam itu mudah menampan bola ke gawang Selangor.
Aksi timbal balik kedua antara Nam Dinh vs Selangor bakal diadakan pada Rabu, 13 Mei 2026 di Stadium Thien Truong dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 8.30 malam waktu Malaysia.