Pemain sayap warisan Malaysia, Imanol Machuca dilaporkan semakin hampir menyertai Velez Sarsfield buat kali kedua.
Karier pemain sayap berusia 26 tahun itu mendapat suntikan semangat apabila CAS mengumumkan perintah penangguhan penggantungan selama 12 bulan.
Perintah ini membolehkan tujuh pemain negara termasuk Machuca meneruskan karier mereka sementara rayuan di CAS berjalan.
Selain beliau, perintah ini turut memberi kelegaan kepada Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.
Susulan itu, TyC Sports melaporkan Velez semakin hampir mendapatkan bekas pemain Union Santa Fe itu secara pinjaman buat kali kedua.
Bekas juara liga Argentina itu boleh mengaktifkan klausa perpindahan tetap untuk Machuca sekiranya memenuhi beberapa syarat yang dipersetujui kelab itu dan kelab asalnya, Fortaleza.
Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan akan menjalani ujian perubatan dan memeterai kontrak pinjamannya pada Rabu.
Perpindahan pinjaman Machuca dijangka membuka jalan kepada kelab Chile, Colo Colo untuk mendapatkan bekas rakan sepasukannya, Diego Valdes.
Ini bukan kali pertama beliau beraksi bersama Velez. Machuca beraksi bersama Velez secara pinjaman pada 2025 dan merekodkan 24 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol.
Selepas dikenakan penggantungan oleh FIFA pada September 2025, beliau tidak dapat beraksi untuk kelab Argentina itu sebelum kembali ke pangkuan Fortaleza.