Tiga pemain warisan Malaysia kembali menyertai sesi latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi Shopee Cup menentang Shan United.
Tiga pemain tersebut ialah Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal. Kelibat mereka di padang latihan dikongsikan dalam siri foto terbaru Johor Southern Tigers.
Mereka kembali menjalani latihan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) penggantungan 12 bulan yang dikemukakan.
Selain Figueiredo, Hevel dan Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado juga dibenarkan kembali beraksi..
Keputusan terbaru CAS menyaksikan semua pemain boleh meneruskan karier mereka dan terlibat dalam aktiviti bola sepak termasuk kelab dan skuad kebangsaan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia memaklumkan kelulusan Penangguhan Pelaksanaan ini kekal berkuat kuasa sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS diputuskan.
Kehadiran semula trio berkenaan dijangka memberi pilihan tambahan kepada jurulatih JDT, Xisco Munoz.
JDT berdepan Shan United dalam aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 29 Januari ini.