Bulgaria mengetepikan cabaran Indonesia untuk meraih gelaran juara FIFA Series di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).
Selepas menewaskan St. Kitts dan Nevis 4-0 dalam aksi sebelumnya, Indonesia semakin bersemangat meneruskan rentak kemenangan di bawah jurulatih England, John Herdman.
Ragnar Oratmangoen mengisi posisi serangan bersama Ole Romeny dan Ramadhan Sananta. Pemain tengah Goztepe, Filip Kratsev mengetuai cabaran The Lions.
Separuh masa pertama menyaksikan Indonesia berusaha menyerap tekanan serangan pasukan ke-87 dunia itu yang diketuai penyerang Cracovia, Martin Minchev.
Bulgaria kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-34. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Kevin Diks ke atas Zdravko Dimitrov.
Penyerang Al-Taawoun, Marin Petkov tenang menewaskan Emil Audero bagi meletakkan Bulgaria di hadapan.
Indonesia cuba mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Herdman memasukkan Ivar Jenner sebagai pengganti Ramadhan di bahagian serangan.
Tekanan Bulgaria ke atas pertahanan Tim Garuda memaksa Herdman memasukkan Elkan Baggott dan Eliano Reijnders bagi memperkemaskan semula rentak pasukannya.
Peluang terbaik Indonesia hadir menerusi Romeny pada minit ke-72. Malangnya, percubaan lambung penyerang Oxford United itu sekadar singgah di palang.
Indonesia berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun tewas, prestasi baik Indonesia dalam FIFA Series dilihat mampu menjadi platform buat Herdman bagi menghadapi ASEAN Hyundai Cup.