Empat tonggak naturalisasi baharu bakal memperkuatkan cabaran skuad wanita Indonesia di peringkat antarabangsa.
Empat tonggak tersebut ialah Emily Julia Frederica Nahon, Felicia Victoria de Zeeuw, Iris Joska de Rouw dan Isa Guusje Warps.
Keempat-empat pemain berdarah Belanda-Indonesia itu selesai mengangkat sumpah sebagai warganegara Indonesia baru-baru ini.
Nahon dan de Zeeuw beraksi mewakili kelab ADO Den Haag. De Rouw dan Warps pula masing-masing beraksi untuk Sparta Rotterdam dan NAC Breda.
Selepas selesai mengangkat sumpah, de Zeeuw dilihat tidak sabar membantu skuad wanita Indonesia cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Sangat bangga dan satu penghormatan bagi saya yang hari ini rasmi menjadi Warga Negara Indonesia (WNI),” katanya.
“Terima kasih kepada PSSI, pemerintah Indonesia, dan semua pihak yang sudah membantu saya menjadi WNI. Saya sudah tidak sabar bergabung bersama Timnas Putri Indonesia dan berjuang bersama demi meraih hasil terbaik.”
Nama Nahon, de Zeeuw, de Rouw dan Warps tersenarai dalam panggilan skuad wanita Indonesia yang dibimbing jurulatih Jepun, Satoru Mochizuki.
Khidmat mereka dijangka ditagih bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang akan bermula pada 29 Jun ini.