Timnas Indonesia kembali memintas Malaysia dalam kemas kini ranking masa-nyata FIFA.
Skuad kendalian Shin Tae-yong merakamkan kemenangan pertama dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila membelasah Arab Saudi.
Dua jaringan pemain muda sensasi Oxford United, Marselino Ferdinand sudah cukup untuk memastikan tuan rumah meraih 3 mata penting untuk menghidupkan peluang ke Piala Dunia.
Kemenangan 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno itu membantu Sang Garuda untuk melonjak ke kedudukan ketiga kumpulan dengan 6 mata bersama Arab Saudi dan China.
Indonesia kini berjaya kembali menjadi pasukan ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas memperoleh tambahan +19.16 mata untuk mengumpul 1135.1 mata.
Kemas kini ranking masa-nyata FIFA menunjukkan Indonesia ketika ini melonjak tiga tangga untuk menghuni kedudukan 127 dunia sekaligus memintas India (129), Malawi (131) dan Malaysia (132).
Thailand (96) dan Vietnam (119) kekal mengemudi tangga teratas sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara menjelang sepak mula Piala ASEAN, Disember ini.