Skuad kebangsaan bawah 23 tahun Indonesia bakal berdepan Guinea untuk slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa beberapa tonggak utama.
Sebelum ini, nama Justin Hubner dan Elkan Baggott tidak dapat dipastikan statusnya dalam skuad kendalian Shin Tae-yong itu kerana terikat dengan komitmen kelab masing-masing.
Kini, kapten pasukan, Rizky Ridho juga disahkan tidak akan menyertai pasukan itu kerana digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Uzbekistan di Piala Asia Bawah 23 yang lalu.
Perkara itu dikongsikan oleh media terkemuka Asia Tenggara, Asean Football melalui satu hantaran di laman X sebentar tadi.
“Kapten pasukan Indonesia B-23, Rizky Ridho, disahkan tidak berada dalam skuad pasukan untuk perlawanan play-off Olimpik 2024 kerana digantung 2 perlawanan selepas menerima kad merah dalam Separuh akhir Piala Asia U23 AFC 2024,” umum Asean Football di laman X.
Indonesia menempah slot play-off ke Olimpik 2024 selepas meraih kedudukan keempat di Piala Asia B-23 di Qatar bulan lalu.