Indonesia menutup kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan Jun dengan kemenangan apabila menewaskan pasukan ke-103 dunia, Mozambique.
Selepas menewaskan Oman dalam aksi persahabatan sebelumnya, anak buah John Herdman tidak sabar meneruskan rentak kemenangan menentang wakil Afrika, Mozambique.
Meskipun tidak disertai beberapa pemain yang berpangkalan di Eropah, anak buah Chiquinho Conde mahu mempertahankan reputasi mereka antara 110 pasukan terbaik dunia.
Sorakan padu penyokong di Stadium Gelora Bung Karno memberi suntikan semangat buat Tim Garuda. Hasilnya, mereka mendahului pada minit ke-12 menerusi Ole Romeny.
Ini gol keenam penyerang Oxford United itu bersama Indonesia dalam 10 penampilan antarabangsa. Romeny menyudahkan hantaran Ragnar Oratmangoen yang menewaskan penjaga gol Mozambique, Ivane Urrubal.
Indonesia berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa. Bersambung selepas rehat, Conde membuat beberapa pertukaran untuk cuba mengubah rentak permainan.
Malangnya, benteng pertahanan tuan rumah diketuai kapten, Rizky Ridho tenang menyerap asakan mereka. Ini membolehkan Indonesia mengekalkan keputusan 1-0 sehingga wisel penamat.
Keputusan ini bukan saja melebarkan rekod kemenangan Herdman bersama Indonesia kepada tiga perlawanan. Malah, ini dilihat tonik terbaik Tim Garuda sebelum saingan ASEAN Hyundai Cup yang akan berlangsung pada bulan hadapan.