Beregu nombor lima dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membuka kempen Indonesia Masters 2025 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua.
Kejayaan itu dicapai bekas juara dunia 2022 itu dengan menyingkirkan beregu ke-44 dunia dari Denmark, William Kryger Boe dan Christian Faust Kjaer.
Selepas tersingkir di peringkat separuh akhir India Open 2025, Aaron-Wooi Yik berharap dapat menjadikan Indonesia Masters 2025 sebagai platform meraih kejuaraan pertama tahun 2025.
Ini kali pertama beregu negara berentap dengan Kryger Boe-Faust Kjaer. Kelebihan ranking memihak kepada Aaron-Wooi Yik selaku beregu kelima dunia.
Set pertama menyaksikan juara Korea Masters 2024 itu mendahului lawan mereka pada kedudukan 11-7. Kelebihan mata yang dimiliki Aaron-Wooi Yik terus dilebarkan sebelum meraih kemenangan 21-13.
Set kedua menyaksikan Kryger Boe-Faust Kjaer pada awalnya mendahului pada kedudukan 6-1. Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar sebelum mengikat kedudukan 9-9.
Kedua-dua beregu terus bersaing mendapatkan mata. Aaron-Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 23-21.
Aaron-Wooi Yik bakal bertemu sama ada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau beregu Taiwan, Lu Ming-Che-Tang Kai-Wei dalam aksi pusingan kedua.