Hasrat beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani meneruskan rentak cemerlang dalam Indonesia Open 2025 musnah.
Ini selepas mereka tewas kepada wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutawa dan Reza Pahlevi Isfahani di peringkat suku akhir.
Selepas dipaksa bekerja keras di pusingan kedua oleh rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong, Sze Fei-Izzuddin berharap dapat meneruskan rentak cemerlang di suku akhir.
Meskipun begitu, Sabar-Reza menanti juara India Open 2025 itu di peringkat suku akhir. Aksi ini dilihat peluang buat Sze Fei-Izzuddin menebus kekalahan di tangan wakil Indonesia itu.
Ini kerana Sabar-Reza pernah mengalahkan mereka di peringkat suku akhir China Masters. Beregu kelapan dunia itu menang dengan keputusan 18-21, 21-19, 23-21.
Set pertama menyaksikan Sabar-Reza menguasai permainan di atas gelanggang. Sokongan padu penyokong mendorong mereka mendahului pada kedudukan 11-8.
Sze Fei-Izzuddin berusaha merapatkan jurang mata dengan Sabar-Reza. Walau bagaimanapun, itu tidak berlaku dengan wakil tuan rumah menang dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan beregu negara bangkit dengan mendahului pada kedudukan 11-9. Kelebihan itu terus dilebarkan sebelum Sze Fei-Izzuddin menang dengan keputusan 21-9.
Keadaan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan. Set ketiga menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata.
Sze Fei-Izzuddin kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-9. Kedua-dua beregu terus bersaing merebut mata sebelum kemenangan menjadi milik wakil Indonesia itu dengan keputusan 21-19.
Sabar-Reza bakal berdepan satu lagi wakil Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun. Wei Chong-Kai Wun mara selepas menyingkirkan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.