Skuad Indonesia Bawah 20 Tahun (B-20) mencipta kejutan dengan memalukan Argentina dalam aksi pertama Seoul On Earth Cup 2024.
Seoul On Earth Cup merupakan kejohanan antarabangsa anjuran Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA). Kejohanan ini bertujuan membantu Korea Selatan bersedia menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada September ini.
Selain Argentina dan Indonesia, Seoul On Earth Cup turut disertai oleh tuan rumah, Korea Selatan dan Thailand.
Indonesia yang dibimbing Indra Sjafri dilihat pasukan bukan pilihan jika dibandingkan dengan lawan mereka dari Amerika Selatan, Argentina. Itu langsung tidak mematahkan semangat pasukan itu untuk mendapatkan kelebihan gol awal.
Malangnya, gawang Garuda Muda bolos pada minit ke-17 menerusi Mirko Juares Zemlich. Zemlich mudah menolak bola hantaran Rodrigo Stucco dari luar kotak penalti yang menewaskan Ikram Algiffari.
La Albiceleste hampir menambah kelebihan jaringan pada minit ke-20 menerusi Tomas Bernardoni tetapi percubaannya tersasar.
Indonesia hampir menyamakan kedudukan menerusi Dony Tri Pamungkas pada minit ke-43 tetapi percubaannya melambung tinggi. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Indra mengarahkan anak buah menggandakan serangan ke arah kubu pertahanan Argentina.
Akhirnya, kekebalan kubu pertahanan La Albiceleste runtuh juga pada minit ke-75. Kadek Arel Priyatna merobek gawang pasukan gergasi Amerika Selatan itu menerusi tandukan yang melepasi penjaga gol, Lucas Schneider.
Tiga minit kemudian, kem Indonesia ceria apabila Schneider dikesan pengadil menjatuhkan Muhammad Ragil dalam kotak penalti. Maouri Ananda tenang menewaskan penjaga gol Argentina itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Gol tersebut memastikan Indonesia meraih kemenangan pertama dalam saingan Seoul On Earth Cup 2024.
Selepas ini, Indonesia bakal berdepan musuh tradisi, Thailand pada 30/8. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak aksi final Kejohanan ASEAN B-19 pada akhir Julai lalu.
Sementara Argentina pula mahu bangkit apabila berdepan Korea Selatan pada hari yang sama.