Advertisements
Indonesia Sisihkan Jordi Amat Lawan Vietnam
Asia Tenggara
MakanBola
PSSI

Pertahanan Indonesia, Jordi Amat bakal terlepas peluang untuk membantu Indonesia berdepan Vietnam dalam aksi kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.

Perkhabaran ini disahkan oleh Persatuan SepakBola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi kenyataan di laman web rasmi tanpa dinyatakan secara terperinci kecederaan yang dialami pemain JDT itu.

Selain Jordi Amat, Indonesia juga tempang tanpa dua tonggak pertahanan, Elkan Baggot dan Yance Sayuri yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

”Seramai tiga pemain iaitu Jordi Amat, Elkan Baggott, dan Yance Sayuri disahkan tidak hadir memperkuatkan pasukan kebangsaan Indonesia menentang Vietnam. Ini kerana ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan,” tulis PSSI di laman web rasmi persatuan.

Masalah kecederaan ini sudah semestinya akan menjejaskan perancangan ketua jurulatih Shin Tae-yong menjelang pertemuan getir menentang negara serantau, Vietnam pada hari Khamis ini.

Namun, ketiadaan tiga tonggak pertahanan ini akan memberi peluang buat pemain-pemain lain seperti Rizky Ridho, Justin Hubner dan pemain naturalisasi baharu, Nathan Joe-A-On membuktikan kemampuan mereka mengemudi benteng pertahanan Sang Garuda.

Indonesia kini menghuni tangga tercorot kumpulan F dengan satu mata manakala Vietnam yang dibimbing Philipe Troussier menduduki tangga kedua kumpulan dengan tiga mata selepas dua perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertarung sebanyak dua kali dengan aksi pertama dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada 21 Mac sebelum aksi kedua di Stadium Mydinh lima hari kemudian.