Indra Putra Mahyuddin kembali menyarung jersi Selangor setelah hampir 16 tahun meninggalkan pasukan Gergasi Merah itu.
Pemain veteran itu kembali memperkuatkan pasukan Selangor dalam sebuah aksi persahabatan melibatkan bekas pemain Selangor menentang bekas pemain Perak di Kompleks Sukan Kuala Selangor petang tadi.
Malah aksi tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemain terkenal pada suatu ketika dulu seperti Asmawi Bakiri, Hadi Jaafar, Ismail Ibrahim dan ramai lagi.
Lebih menarik apabila Indra Putra turut menentang bekas kelabnya, Perak dalam perlawanan tersebut memandangkan beliau mempunyai karier yang pelbagai sepanjang bergelar pemain bola sepak Malaysia.
Indra Putra pernah menyertai pasukan Selangor pada tahun 2008 sebelum akhirnya berpindah menyertai Kelantan pada tahun berikutnya.
Kemudian beliau turut pernah memperkuatkan pasukan T-Team, Felda United, KL City dan terbaharu Kelantan United.
Indra Putra bakal menjengah usia 43 tahun pada tahun ini dan beliau masih lagi belum mengumumkan persaraan dalam arena bola sepak Malaysia.
Malah pada musim lalu Indra Putra masih berbisa apabila mencatatkan 6 gol buat Kelantan United dan kesemua jaringan beliau hadir menerusi sepakan percuma dan juga sepakan penalti.