Pusingan suku akhir Australian Open 2024 menyaksikan seramai tujuh wakil Malaysia bakal turun ke gelanggang dalam misi merebut tempat ke peringkat separuh akhir.
Prestasi yang boleh dikatakan cukup memuaskan buat skuad negara apabila daripada 12 wakil yang beraksi di pusingan 16 terbaik, tujuh wakil negara berjaya meloloskan diri manakala lima yang lain terkandas kepada lawan masing-masing.
Persembahan cemerlang terus ditampilkan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang berjaya melepasi halangan rakan senegara sementara dalam sektor perseorangan wanita, tiada sebarang wakil Malaysia yang meneruskan kemaraan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah pasangan beregu lelaki negara yang berusia 18 tahun, Aaron Tai-Kang Khai Xing yang melakukan penampilan pertama di Jelajah Dunia BWF dan berhasil mara ke peringkat suku akhir.
Sementara itu, lima lagi wakil negara yang terdiri daripada dua beregu lelaki, satu beregu wanita dan dua pasangan beregu campuran melengkapkan tujuh wira badminton yang bakal menggalas cabaran negara pada Jumaat.
Barisan Pemain Malaysia Suku Akhir Australian Open
Lee Zii Ji yang merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan akan membuat perhitungan bersama pemain dari Jepun, Kenta Nishimoto sementara beregu wanita yang diwakili oleh Lai Pei Jing-Lim Chiew Sin bakal menentang pasangan dari Ukraine.
Nasib berbeza pula dialami oleh tiga beregu lelaki negara apabila Arif Junaidi-Yap Roy King akan menentang lawan dari Chinese Taipei dan Haikal Nazri-Choong Hoon Jian pula bakal berhadapan dengan pasangan tuan rumah.
Manakala tugas getir menanti Aaron Tai-Kang Khai Xing yang dijadualkan untuk turun berentap dengan pilihan pertama kejohanan dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu yang muncul juara Singapore Open baru-baru ini.
Pertembungan sesama sendiri bakal berlaku dalam sektor beregu campuran apabila dua pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Choong Hoon Jian-Go Pei Kee akan berdepan sesama sendiri di gelanggang tiga bagi menentukan wakil ke separuh akhir.
Info Siaran Langsung Suku Akhir Australian Open
Tarikh: 14 Jun 2024 (Jumaat).
Masa: 10.00 pagi – 6.00 petang.
Venue: Quaycentre, Sydney, Australia.
Siaran Langsung: Astro Supersport dan Youtube BWF TV.
Sebarang keputusan perlawanan akan dikemas kini secara masa sebenar (real time) di MakanBola.com.