Aksi suku akhir Indonesia Open pada Jumaat menyaksikan enam wakil Malaysia termasuk dua jaguh perseorangan lelaki bakal berentap untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir.
Momentum cemerlang ditampilkan oleh pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia belakangan ini diteruskan lagi apabila berjaya bangkit menewaskan lawan dari China, Weng Hongyang dalam aksi tiga set dengan kemenangan 20-22, 21-9 dan 21-16.
Mengiringi Zii Jia ke suku akhir adalah seorang lagi pemain perseorangan, Leong Jun Hao yang mencipta kejutan menundukkan wakil tuan rumah, Jonatan Christie dan Chou Tien Chen untuk menempah slot ke suku akhir.
Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula bakal menggalas cabaran negara dalam sektor beregu lelaki setelah dipaksa bekerja keras untuk menyingkirkan lawan masing-masing pada Khamis.
Manakala, dua lagi wakil Malaysia di saingan suku akhir adalah beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang akan berdepan pasangan pilihan dari China dan Korea Selatan.
Barisan Pemain Malaysia Suku Akhir Indonesia Open
Lee Zii Jia dijadualkan berentap menentang juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand sementara Jun Hao pula menanti ujian getir daripada pemain China di ranking keenam dunia, Li Shifeng dalam satu lagi aksi suku akhir.
Dalam saingan beregu lelaki, Izzuddin-Sze Fei juga akan bertemu jaguh dari China, Liang Weikeng-Wang Chang manakala Wei Chong-Kai Wun akan berdepan Lu Ching Yao-Yang Po Han yang menumpaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Khamis.
Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah akan bersaing hebat menentang pilihan pertama kejohanan, Chen Qinchen-Jia Yifan dari China dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bakal merebut tiket separuh akhir dengan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.
Info Siaran Langsung Suku Akhir Indonesia Open
Tarikh: 7 Jun 2024 (Jumaat).
Masa: 9.00 pagi.
Venue: Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.
Siaran Langsung: Astro Supersport, BWF TV.
Sebarang keputusan perlawanan akan dikemas kini secara masa sebenar (real time) di MakanBola.com.