Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan dalam Indonesia Open 2024 apabila mengatasi wakil China, Weng Hong Yang dalam aksi pusingan kedua hari ini.
Selepas berjaya menewaskan Angus Ng Ka Lok di pusingan pertama, bekas juara All England 2021 itu perlu melepasi Hong Yang jika ingin mara ke suku akhir.
Dari segi ranking, kelebihan memihak kepada Zii Jia selaku pemain perseorangan lelaki ketujuh dunia. Walau bagaimanapun, kelebihan rekod pertemuan memihak pemain yang menduduki ranking ke-19 dunia itu dengan rekod tiga kemenangan daripada lima perlawanan.
Kali terakhir kedua-duanya bertemu ialah saingan French Open 2023. Perlawanan tersebut menyaksikan Zii Jia menyingkirkan Hong Yang dengan keputusan 21-15, 21-11.
Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain saling mengejar mata. Pada satu ketika, Zii Jia dan Hong Yang terikat pada kedudukan 20-20.
Malangnya, beberapa kesilapan yang dilakukan juara Thailand Open 2024 itu membantu Hong Yang meraih kemenangan dengan keputusan 22-20.
Set kedua menyaksikan Zii Jia bangkit dan mendominasi bekas juara Denmark Open 2023 itu pada kedudukan 12-6. Walaupun Hong Yang cuba mengejar, pemain nombor tujuh dunia itu terus mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-9.
Keadaan ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan. Beberapa kesilapan di jaring yang dilakukan Hong Yang membuka ruang buat Zii Jia mendahului pada kedudukan 11-8.
Walaupun diberi tentangan oleh Hong Yang, kelebihan tersebut terus dipertahankan bekas juara Arctic Open 2023 itu. Zii Jia mara ke suku akhir menerusi kemenangan set ketiga dengan keputusan 21-16.
Zii Jia selepas ini bakal menentang juara dunia perseorangan lelaki 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat suku akhir.