Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengumumkan ketibaan perancang tengah sensasi Portugal, Chico Geraldes bagi musim 2024/25.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Harimau Selatan daripada kelab UAE selain memiliki pengalaman yang cukup luas di pentas bola sepak Eropah.
Beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab gergasi seperti Sporting CP selain berkelana di Jerman bersama Eintracht Frankfurt secara pinjaman.
Kemasukan bekas pemain b-21 Portugal ini dilihat sebagai pengganti kepada perancang tengah kelahiran Argentina, Leandro Velazquez yang tidak lagi kekal bersama pasukan.
Namun begitu, Geraldes bakal menjadi pemain kedua dengan nilai pasaran paling tinggi di Liga Super selepas rakan sepasukan barunya, Jalil Elias.
Menerusi perbandingan nilai pasaran oleh laman Transfermarkt, beliau dinilai pada tanda harga RM12.74 Juta dan berada di tangga kedua selepas Jalil yang memiliki ‘saham’ bernilai RM15.3 Juta.
Sepanjang berkelana di UAE bersama FC Baniyas, Chico telah beraksi dalam 14 perlawanan dan merekodkan tiga bantuan jaringan.
Chico merupakan pemain import kedua yang dibawa masuk oleh JDT bagi musim 2024/2025 selepas pemain antarabangsa Syria, Jalil Elias.