“Ini Tahun Terakhir Saya” – Khairul Fahmi
MakanBola
Sabah FC

Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui musim 2025/26 bakal menjadi musim terakhirnya bersama pasukan itu.

Hal ini dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas tamat aksi Liga Super antara Penang FC dan Sabah di Stadium Bandaraya.

“Ini tahun terakhir saya,” katanya selepas membantu Sabah mengikat Sang Harimau Kumbang tanpa jaringan dalam perlawanan itu.

Ini turut disokong menerusi satu ciapan beliau di X berhubung ciapan Zulhelmi. “Bersama Sabah,” katanya.

Nama bekas penjaga gol kebangsaan itu cukup dikenali kerana menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan Kelantan dalam Liga Super.

Antara trofi yang dimenangi Khairul Fahmi semasa bersama pasukan itu ialah Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Penjaga gol yang mesra disapa Apek itu juga membantu Malaysia bergelar juara ASEAN Championship edisi 2010.

Musim ini menyaksikan Khairul Fahmi membantu Sabah mara ke final Piala FA. Beliau juga menjadi sebahagian daripada pasukan Sang Badak yang bergelar juara MFL Challenge Cup.