Penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz telah menunjukkan kehandalan dan ketangkasan dalam menjaga gawang Sang Kenari daripada dibolosi sejak beberapa perlawanan yang lalu.
Ketangkasan Kalamullah nyata telah membuka mata banyak pihak mengenai kebolehan penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Baru-baru ini, KDA FC telah memberikan kredit kepada Kalamullah dengan satu hantaran di laman sosial rasmi mereka berkenaan sumbangan luar biasa penjaga gol tersebut.
“Wira yang tak didendang, Kalamullah beraksi cemerlang dalam 2 perlawanan Derbi Utara, menangkis cubaan penting pasukan Penang FC, meniup semangat dan motivasi rakan untuk memburu gol kemenangan.
“Teruskan Kalamullah Al-Hafiz, konsisten adalah kuncinya!,” coret KDA FC di laman Instagram.
Selain KDA FC, ketangkasan Kalamullah juga mendapat pujian bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan yang menganggap Kalamullah beraksi dengan cemerlang.
“Kalamullah juga saya rasa beraksi dengan baik. Banyak percubaan-percubaan pasukan Penang berjaya ditepis dan diselamatkan,” jelas Razman kepada Astro Arena.
Kudrat Kalamullah dijangka akan terus digunakan oleh pengendali Kedah, Nafuzi Zain dalam aksi suku akhir kedua menentang Penang yang dijadualkan pada 5 Julai ini di Stadium Darulaman.