Pempengaruh terkemuka dunia, IshowSpeed tampil mengejutkan apabila menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bertemu DYAM Tunku Ismail di Stadium Sultan Ibrahim.
Beliau sebelum ini sudah pun tiba di Malaysia untuk mengadakan jelajah di Asia Tenggara sambil menikmati budaya di setiap negara.
IShowSpeed telah dibawa berkunjung ke serata Kuala Lumpur sebelum beliau berangkat ke Indonesia untuk meneruskan penstriman secara langsung di laman Youtube.
Beliau yang kini berada di Singapura melakukan kejutan apabila menaiki kenderaan sekitar 30 minit dan datang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.
JDT kini sedang beraksi menentang Kelantan Darul Naim sekaligus memberikan peluang buat IShowSpeed menyaksikan perlawanan tersebut.
Beliau juga bertemu dengan Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor pada masa yang sama.
DYAM Tunku Ismail juga sempat menghubungi anak baginda yang teruja untuk melihat Speed menerusi panggilan video.
Kehadirannya menerima sambutan baik daripada staf JDT yang menguruskan perjalanan beliau semasa berada dalam kawasan stadium.