Bekas penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade terbuka menerima tawaran daripada mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M).
Pendirian itu dibuat selepas beliau masih belum menerima tawaran lanjutan kontrak daripada Peteh. Kontrak Akinade bersama Terengganu berakhir pada penghujung Mei lalu.
Meskipun masih berharap dapat kekal bersama Peteh, penyerang yang memiliki ketinggian 1.90 meter itu juga bersikap realistik.
Justeru, Akinade bersedia menerima tawaran mana-mana kelab Liga M agar dapat beraksi pada musim hadapan.
“Jika ada pasukan lain di Malaysia membuat tawaran, sudah tentu saya akan dengar dan lihat apa tawaran (kontrak) yang dikemukakan.
“Sudah tentu saya terbuka untuk tinggal di Malaysia 100%. Sebenarnya, saya tak tahu. Kelab-kelab juga tak tahu, jadi saya kena tunggu dan lihat apa belanjawan (dikemukakan untuk musim depan).
“Masih ada banyak masa, Pada penghujung bulan ini, semuanya akan berlaku,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Akinade merekodkan 10 gol dan tiga bantuan gol dalam 35 penampilan bersama Peteh. Selain Terengganu, beliau juga pernah beraksi untuk Kelantan FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).