Isu Lesen Ganggu Persiapan Kelantan DN
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Datuk Irwan Rizal Ali Napiah mengakui isu Lesen Kebangsaan sedikit sebanyak mengganggu persiapan pasukan itu.

Sebelum ini, Kelantan DN antara tiga pasukan Liga Super menerima lesen secara bersyarat daripada First Instance Body (FIB) pada Mei lalu.

Susulan itu, mereka perlu mengemukakan dokumen kewangan tambahan kepada FIB sebelum tarikh tutup 31 Mei lalu.

Selepas FIB berpuas hati dengan semua kriteria pelesenan yang dipenuhi Sang Kijang Emas, barulah Lesen Kebangsaan penuh diberi kepada kelab berkenaan.

Irwan Rizal mengakui disebabkan kelewatan Kelantan DN menerima lesen tersebut, mereka terlepas mendapatkan tujuh pemain berkualiti.

“Saya sedih juga sebab sekarang ini tempoh kritikal kan. Pemain Kelantan tak dapat sertai kerana mereka pun dapat tawaran, mereka perlu memilih.

“Mereka memang nak berkhidmat dengan negeri kelahiran mereka. Tapi pada akhirnya, itu periuk nasi (mereka). Jadi, mereka kena buat keputusan demi keluarga dan karier mereka.

“Mereka terpaksa (memilih). Jadi, dengan cara hormat, mereka datang bincang dengan kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Irwan Rizal turut mengesahkan bahawa pasukan Pantai Timur itu belum menandantangani pemain atau jurulatih baharu.

Ini kerana keutamaan Kelantan DN ialah memastikan ketelusan pasukan terutama dari segi kewangan. Beliau melihat jika mereka tersilap langkah, Kelantan DN perlu berdepan kos kewangan yang tinggi.

“Setakat ini, kita belum (menandatangani sesiapa). Itu yang saya boleh sahkan. Sebab saya tak nak tipu orang ramai terutama media.

“Saya boleh sahkan, belum lagi, tidak ada sebarang tandatangan kontrak. Sebab kita nak libat urus yang telus dan kita pun tak nak tutup periuk nasi orang.

“Kalau saya tandatangani ketua jurulatih dan pemain, sekali tak dapat. Nasib mereka macam mana, nasib kelab pula macam mana? Sebab kita perlu keluarkan pampasan yang tinggi,” ujarnya.

Antara jurulatih yang didakwa bakal mengisi kerusi panas Kelantan DN ialah Yusri Che Lah, Ishak Kunju dan E. Elavarasan.