Itali Minat Dapatkan Pep Guardiola
MakanBola
Manchester City

Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Giovanni Malago mengakui badan induk itu berminat mendapatkan khidmat jurulatih legenda Sepanyol, Pep Guardiola.

BBC Sport melaporkan perbincangan antara FIGC dan kem Guardiola telah diadakan berhubung prospek beliau melatih skuad kebangsaan Itali.

Malago memaklumkan FIGC tidak menolak untuk membuat pengecualian kewangan dari segi gaji demi mendapatkan sentuhan bekas pengurus Manchester City itu.

“Pengecualian (kewangan) telah dibuat, pengecualian yang misalnya mungkin melibatkan nama yang begitu menonjol pada ketika ini: Pep Guardiola.

“Pengecualian atas sebab-sebab yang yang saya tidak ingin jelaskan di sini, tetapi tidak pasti sama ada perkara ini akan berhasil atau tidak,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam dunia kejurulatihan, Guardiola tidak pernah melatih skuad kebangsaan. Pada masa sama, legenda Barcelona itu dilihat tidak asing dengan bola sepak Itali.

Ini kerana Guardiola pernah beraksi dalam saingan liga Itali sebagai pemain bersama AS Roma dan Brescia dari 2001 hingga 2003. Sekiranya beliau bersetuju menerima tawaran FIGC, Guardiola bakal menjadi jurulatih asing ketiga membimbing Azzurri.

Jurulatih Hungary, Lajos Czeizler menjadi sebahagian daripada jawatankuasa teknikal yang melatih Itali dari 1949 hingga 1959. Jurulatih Argentina, Helenio Herrera dan jurulatih Itali, Ferruccio Valcareggi pula merupakan jurulatih bersama negara itu dari 1966 hingga 1967.

Guardiola juga berpotensi memperbaharui persaingan dengan beberapa jurulatih ternama yang pernah mewarnai liga-liga utama Eropah jika menerima tawaran Itali. Bekas pengurus Chelsea, Thomas Tuchel kini membimbing England.

Pengurus legenda Liverpool, Jurgen Klopp pula dilaporkan bakal membimbing Jerman sebagai pengganti Julian Nagelsmann. Zinedine Zidane pula akan mengisi kerusi panas Perancis menggantikan rakan senegara, Didier Deschamps.

Sekiranya FIGC gagal mendapatkan Guardiola, dua lagi legenda Itali dilaporkan berada dalam radar badan induk itu. Dua nama tersebut ialah seorang lagi bekas jurulatih City, Roberto Mancini dan pengurus Dubai United, Andrea Pirlo.

Itali mencari jurulatih baharu selepas legenda AC Milan, Gennaro Gattuso meletak jawatan pada April lalu. Gattuso berbuat demikian sebagai mengambil tanggungjawab kegagalan Itali layak ke Piala Dunia 2026.