Bekas pengendali Liverpool, Jürgen Klopp, sah mengemudi skuad kebangsaan Jerman selepas menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).
Perkembangan itu disahkan oleh wartawan perpindahan terkenal, Fabrizio Romano, yang melaporkan bahawa Klopp telah bersetuju untuk mengambil alih jawatan berkenaan manakala butiran kontrak jangka panjang serta projek pasukan kini sedang dimuktamadkan.
Bekas pengendali Liverpool sebelum ini merupakan Ketua Bola Sepak Global bagi Kumpulan Red Bull, namun kontrak semasanya mempunyai klausa pelepasan khas untuk membolehkan beliau menerima jawatan ketua jurulatih Jerman.
Pelantikan ini juga menandakan kepulangan Klopp ke bidang kejurulatihan selepas meninggalkan Liverpool pada 2024.
Jurgen Klopp mengesahkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengenai pelantikannya sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Jerman selepas Julian Nagelsmann meletakkan jawatan. Bekas pengendali Liverpool itu berkata beliau kini sudah “kembali bertenaga sepenuhnya” dan bersedia untuk kembali ke bidang kejurulatihan.
Julian Nagelsmann meletakkan jawatan selepas Jerman tersingkir secara mengejut dalam pusingan 32 Piala Dunia menentang Paraguay.
Nagelsmann, yang juga pernah mengendalikan kelab Jerman RB Leipzig dan Hoffenheim, menggantikan Flick pada September 2023. Pada asalnya dengan kontrak sehingga selepas Euro 2024. Ia kemudian dilanjutkan sehingga Piala Dunia tahun ini dan seterusnya ke Euro 2028.
Bercakap di New York ketika bertugas sebagai penganalisis untuk Magenta TV, Klopp mengakui DFB telah menghubunginya sebagai sebahagian daripada proses pelantikan tersebut.
“Julian telah meletakkan jawatan dan pihak DFB sedang mencari penggantinya. Dalam proses itu, mereka telah menghubungi saya,” kata Klopp.
“Kira-kira dua tahun lalu saya meninggalkan Liverpool kerana saya merasakan sudah tidak mempunyai tenaga untuk meneruskan tugas atau mengharungi satu lagi musim bersama Liverpool. Sejak itu, saya kembali bertenaga sepenuhnya dan saya sudah bersedia.”
Pelantikan ini menandakan era baharu buat bola sepak Jerman, dengan Klopp dijangka membawa pendekatan intensiti tinggi yang menjadi identitinya.