Ivan Mamut Senjata Baharu NK Varazdin
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang berbisa Croatia, Ivan Mamut kini sah bergelar pemain baharu NK Varazdin selepas kontraknya tamat bersama pasukan Liga Super Malaysia, Terengganu FC.

Perpindahan Mamut itu diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan NK Varazdin di laman Instagram dan disambut baik oleh para penyokong mereka.

“Penyerang berusia 28 tahun, Ivan Mamut kini menjadi pemain baharu kami. Ivan memulakan perjalanan bola sepaknya di akademi belia Hajduk, dan mula menyerlah dalam saingan senior menerusi penampilan bersama Inter Zaprešić dan Sesvete.

“Kariernya kemudian diteruskan di luar Croatia, beraksi untuk kelab utama Romania seperti Universitatea Craiova dan FCSB, sebelum berhijrah ke Terengganu FC di Malaysia. Semoga berjaya Ivan,” umum NK Varazdin di laman Instagram.

Mamut, 28, sebelum ini menyertai Terengganu pada musim 2023 dan menjadi senjata utama skuad Terengganu yang pada ketika itu dikendalikan jurulatih Croatia, Tomislav Steinbrückner. Namun begitu, kecederaan serius yang dialaminya menjejaskan peluang untuk tampil cemerlang secara konsisten bersama pasukan dari Pantai Timur itu.

Difahamkan perjalanan karier Mamut di Malaysia terganggu selepas mengalami kecederaan tendon Achilles yang serius dan memaksa dirinya perlu berehat panjang.

Sepanjang bersama Terengganu, Mamut telah meledak 23 gol dalam 35 penampilan yang sekali gus membuktikan bisanya di dalam kancah bola sepak Malaysia.

Kali terakhir Mamut beraksi dalam perlawanan rasmi adalah pada 17 Disember 2023 ketika menentang Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia. Dalam aksi tersebut, beliau berjaya menjaringkan satu gol sekaligus menjadi penampilan dan jaringan terakhirnya bersama Terengganu.

Perpindahan ke NK Varazdin boleh dianggap sebagai langkah terbaik untuk menghidupkan semula kariernya selepas episod kecederaan yang panjang yang dialaminya.