Perancang tengah baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias kini dalam perjalanan menuju ke Malaysia lebih awal.
Pemain berusia 27 tahun itu bakal menjadi sandaran terbaru pasukan bimbingan Tano Solari untuk mengemudi jentera tengah pasukan.
Beliau yang beraksi di divisyen utama Liga Primera Argentina bersama San Lorenzo menjadi watak penting buat pasukan musim ini selepas membuat 25 penampilan dan menjaringkan dua gol.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh beliau di laman Instagram Story, pemain kelahiran Argentina itu kini dalam perjalanan dari Istanbul menuju ke Singapura.
Hal ini menguatkan lagi berita mengenai ketibaan beliau ke Malaysia lebih awal dengan saingan liga juga bakal berakhir.
Skuad Harimau Selatan juga mahu melakukan persediaan lebih baik selepas bakal beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada musim hadapan.
Sebelum ini, pemilik kelab JDT, DYAM TMJ sudah memberitahu mengenai kemasukan kira-kira tiga pemain import baharu untuk memperkuatkan pasukan.
JDT juga akan melakukan persiapan bagi musim baharu di Sepanyol dan Portugal selain berdepan lawan yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti pasukan di pentas Asia.