Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias dilaporkan telah mengemukakan saman kepada kelab lamanya, San Lorenzo.
Portal Vamos Ciclon melaporkan Elias menuntut kelab yang diberi jolokan Los Santos itu untuk menyelesaikan hutang berjumlah 30 juta pesos (RM109,000).
Hutang tersebut terdiri daripada tunggakan gaji dan hadiah kemenangan yang patut diterima pemain berusia 29 tahun itu.
Saman ini timbul beberapa bulan selepas Elias sepatutnya kembali menyertai San Lorenzo secara pinjaman dari JDT.
Bekas pemain tengah Godoy Cruz itu sudah melepasi ujian perubatan dan mencapai persetujuan lisan untuk beraksi secara pinjaman sehingga Disember 2025. Walau bagaimanapun, perpindahan tersebut gagal direalisasikan.
Situasi ini terjadi kerana Los Santos gagal memuktamadkan penjualan Elian Irala kepada kelab Brazil, SC Internacional.
Elias bukan satu-satunya pemain yang menuntut San Lorenzo menyelesaikan tunggakan mereka. Pemain pertahanan veteran, Gaston Campi turut menuntut janji daripada pengurusan pasukan diketuai presiden, Marcelo Moretti.
Campi menuntut San Lorenzo menyelesaikan tunggakan hutang berjumlah AS$1.5 juta (RM6.4 juta). Situasi itu juga mendorong beliau meninggalkan kelab pada Disember 2024.
Selain isu hutang membabitkan dua pemain, Los Santos turut menerima tamparan hebat apabila Iker Muniain memilih meninggalkan kelab itu.
Bekas bintang Athletic Bilbao itu dilaporkan bakal menggantung but selepas beraksi sejak tahun 2009.
Elias dijangka meninggalkan JDT apabila kontraknya bersama pasukan itu berakhir pada 30 Jun. Pemain berdarah Syria-Argentina itu juga dilaporkan sedang menimbang tawaran beberapa kelab.