Lagenda bola sepak Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Hassan mengingatkan agar dua pemain utama negara, Arif Aiman dan Faisal Halim tidak disentuh bagi aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Taiwan.
Skuad kendalian Kim Pan-gon akan menempuhi aksi kedua yang amat penting bagi menyalakan misi Harimau Malaya untuk beraksi di Piala Dunia.
Beliau dalam satu perkongsian pada segmen Nindia Bola memberitahu bahawa beliau merasakan dua pemain ini merupakan tonggak penting pasukan.
Ketika aksi berdepan Kyrgyzstan tempoh hari, Arif mencatatkan hatrik bantuan gol sementara Faisal menjaringkan gol kemenangan pasukan pada masa kecederaan.
“Saya rasa untuk pertahanan saya memilih Shahrul Saad dan Dion Cools sementara kiri dan kanan ialah Matthew Davies dan Corbin Ong.”
“Cuma masa perlawanan hari itu kurang kita lihat hantaran-hantaran penting dan saya rasa kita perlukan Afiq Fazail dan Stuart Wilkin.”
Zainal juga berpendapat bahawa jentera serangan Malaysia perlu mengekalkan trio terbaik yang beraksi cemerlang tempoh hari.
“Saya rasa Darren akan sentiasa menjadi pemain kesukaan jurulatih kerana beliau akan menekan pihak lawan sepanjang permainan. Selain itu, dua pemain yang beraksi di tepi (Arif dan Faisal) jangan disentuh,” jelasnya kepada Nindia Bola.
Malaysia akan memulakan aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chinese Taipei pada jam 7 malam 21 November 2023.