Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadapi empat aksi hebat dalam tempoh sebulan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super dan Piala FA setakat ini.
JDT dijadualkan berdepan kelab yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu iaitu Sabah FC pada 13 Julai ini di Stadium Likas.
Aksi tersebut sudah pasti menjadi tumpuan ramai apabila Sabah yang sebelum ini dikatakan mengalami masalah dalaman telah tersingkir daripada saingan Piala FA di tangan Terengganu FC. Kebangkitan pastinya ditagih oleh anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam memperbaiki kedudukan di dalam liga.
Selepas aksi bertemu Sabah, JDT bakal diuji sekali lagi dengan pasukan besar iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga di gelanggang lawan bagi aksi separuh akhir pertama Piala FA yang bakal dilangsungkan pada 20 Julai.
Ujian buat JDT tidak terhenti di situ apabila dijadualkan bertemu Terengganu FC di gelanggang sendiri bagi saingan Liga Super dan akan menutup tirai bulan Julai dengan aksi bertemu PDRM FC di gelanggang lawan.
Daripada empat aksi yang bakal dilalui JDT, tiga daripadanya akan berlangsung di gelanggang lawan manakala hanya satu aksi yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.
JDT kini menduduki tangga teratas Liga Super dengan mengumpul 12 mata penuh selepas mengharungi empat perlawanan liga. Selain itu, JDT juga mengekalkan rekod tanpa bolos dalam saingan Piala FA.